Wednesday 16 May 2012

Kisah Mat Jenin


Anda pasti pernah terbaca atau mendengar kisah Mat Jenin yang kuat berangan. Mat Jenin malas berusaha dan hanya suka berkhayal menjadi kaya, memiliki harta yang banyak dan berkahwin dengan puteri raja. Rumah buruk yang ditinggalkan oleh orang tuanya semakin usang kerana beliau lebih suka berangan mempunyai rumah yang besar daripada memegang penukul dan paku. Menurut riwayat, Mat Jenin menemui ajal juga akibat daripada tabiatnya yang suka berangan. Mat Jenin telah terjatuh dari pokok kelapa yang dipanjatnya apabila tersedar daripada khayalan akibat terkejutkan kehadiran seekor tupai.
Semua orang termasuk anda dan saya pernah (atau sedang) menjadi Mat Jenin. Berangan menjadi jutawan, memiliki kereta besar, tinggal di rumah banglo mewah dan dikenali ramai orang. Kerap kali angankan tidak pernah menjadi kenyataan. Anda pula tidak kisah kerana anda tahu itu hanya angan-angan dan anda terus juga berangan, berangan dan berangan…
Nasihat saya teruskan angan-angan anda itu kerana angan-angan itu adalah langkah pertama untuk memiliki apa yang anda idamkan. Saya ulangi "angan-angan adalah langkah pertama". Bermakna ada langkah seterusnya. Sebab itu Mat Jenin tidak memperolehi apa yang beliau idamkan kerana hanya mengambil langkah pertama.

                                                 Aksi Mat Jenin Berangan

Namun kita harus berterima kasih kepada Mat Jenin kerana menunjukkan kita langkah pertama yang amat penting ini. Seperti peribahasa Cina "perjalanan yang jauh bermula dari langkah pertama" Kita juga harus berterima kasih kepada Mat Jenin kerana menunjukkan kepada kita tentang kehebatan langkah pertama dan juga menyedarkan kita akibatnya jika hanya mengambil langkah pertama. Sumbangan Mat Jenin ini harus kita hargai. Kita akan teruskan "perjuangan'' Mat Jenin. Terima kasih Mat Jenin…
Realitinya dalam dunia ini terdapat ramai Mat Jenin (atau lebih tepatnya Mat Jenin Moden). Mereka inilah yang bertanggungjawab memajukan dunia ini. Anda tidak percaya? Mat Jenin suka berangan dan berfantasi bukan? Lihat sahaja Wright Bersaudara. Mereka berangan untuk terbang seperti burung. Bermula dengan angan-angan itulah kini manusia boleh "terbang", bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang beribu batu jaraknya, merentasi laut dan gunung-gunung dalam masa yang singkat. Begitu juga jikalau tidak ada orang yang berfantasi boleh berhubungan dengan sesiapa sahaja di dunia ini dengan hanya mendail atau menekan beberapa nombor maka tidak akan terciptalah telefon yang kita lihat pada hari ini. Dan cuba bayangkan jikalau kapal terbang dan telefon ini tidak pernah tercipta, adakah ekonomi dunia akan berkembang seperti hari ini? Jelaslah bahawa penciptaan-penciptaan hebat datangnya daripada idea-idea yang bermula daripada angan-angan. Jadi siapa kata berangan itu satu pembaziran masa?
Mat Jenin Moden -Mat Jenin Moden ini faham bahawa berangan hanyalah langkah pertama. Mereka tahu ada langkah seterusnya yang harus mereka ambil dan mereka mengambil langkah-langkah tersebut. Sebab itulah mereka berjaya. Di sinilah bezanya Mat Jenin dan Mat Jenin Moden. Mat Jenin hanya setakat berangan tetapi Mat Jenin Moden tidak berhenti setakat berangan tetapi melakukan langkah-langkah seterusnya untuk merealisasikan angan-angan itu. Di dalam buku ini anda akan didedahkan dengan langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk merealisasikan apa sahaja impian anda. Saya akan kupaskan secara mendalam langkah demi langkah yang perlu anda ambil untuk menjadi Mat Jenin Moden.
Saya akan kongsikan beberapa pengalaman saya menjadi Mat Jenin dan langkah-langkah yang saya ambil untuk menjadikan angan-angan saya satu kenyataan (kerana saya takut jatuh dari pokok kelapa!). Saya akan tunjukkan kepada anda bagaimana menjadi Mat Jenin Moden, berangan dan memperolehi apa sahaja yang anda angankan! Ya apa sahaja yang anda inginkan; kekayaan harta, kebahagiaan, kesihatan yang baik, ketangkasan berfikir dan sebagainya. Semuanya bermula dengan berangan!
 

Kenapa berfikiran positif sahaja tidak cukup?




Sebelum kita teruskan dengan perbincangan langkah-langkah yang harus diambil oleh Mat Jenin Moden dalam mencipta kejayaan, mari kita lihat dahulu satu aliran motivasi yang pernah popular satu masa dahulu iaitu gagasan pemikiran positif dan mengapa sekadar mengamalkan berfikiran positif sahaja tidak cukup.
Gagasan pemikiran positif (Positive Thinking) popular sekitar tahun 1980an. Buku motivasi aliran positif memenuhi pasaran dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari orang ramai. Namun begitu ia tidak bertahan lama. Keghairahan orang ramai terhadap motivasi aliran Berfikir Positif semakin menurun apabila kejayaan yang diuar-uarkan oleh penulis-penulis buku motivasi aliran ini tidak dapat dicapai sepenuhnya. Memang ada yang berjaya tetapi kebanyakan tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan. Jikalau adapun ia tidak kekal lama. Anda mungkin pernah membaca buku aliran Berfikiran Positif seperti ini. Kebiasaannya apa yang berlaku, anda berasa amat bermotivasi sejurus selepas membacanya tetapi selepas dua tiga hari ia hilang begitu sahaja. Anda terpinga-pinga. Apa yang tidak kena? Apa yang anda perlu lakukan untuk terus menjadi bermotivasi seperti awalnya? Puas anda mencari dan mengkaji namun anda tidak ketemu jawapannya. Kita tidak mahu motivasi yang sebegitu. Kita mahu menjadi bermotivasi dan menjadi bertambah bermotivasi daripada sehari ke sehari!
Biar saya jelaskan.
Sebab utama Berfikiran Positif kurang berjaya adalah kerana pengamalnya tidak berlaku jujur kepada diri sendiri. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai berat 50 kilogram lebih daripada berat ideal anda, Berfikiran Positif antaranya menyarankan anda berkata berulang-ulang kali (afirmasi) frasa seperti "Aku tidak gemuk, aku sihat dan sentiasa bertenaga" setiap kali anda melihat tubuh anda di cermin. Tetapi suara di dalam diri anda mengatakan "Tidak, aku gemuk, perutku menggeleber, aku selalu berasa letih dan aku selalu sakit". Dan suara ini disertai dengan emosi (negatif) yang kuat kerana ia adalah realiti anda sekarang. Suara yang beremosi negatif inilah yang membatalkan segala kata-kata afirmasi tadi kerana jauh di sudut hati anda tidak mempercayainya. Akibatnya anda gagal merealisasikan impian anda untuk mendapatkan berat badan ideal tadi.
Di dalam buku ini saya akan tunjukkan cara bagaimana anda boleh membawa pemikiran positif ke satu tahap yang lebih tinggi. Saya akan kongsikan satu teknik mudah dan cepat bagaimana menangani emosi dan fikiran negatif yang boleh mengganggu keberhasilan afirmasi atau kaedah-kaedah saranan yang lain.

Eskalator kepada kejayaan anda



Kalau anda amati betul-betul “benda” dalam alam ini berpasang-pasangan. Mewah pasangannya miskin, tinggi pasangannya rendah, baik pasangannya buruk, cantik pasangannya hodoh dan sebagainya. Begitu juga dengan tindakan, rajin pasangannya malas. Begitu juga dengan cara atau kaedah bagaimana anda boleh memperolehi apa yang anda idamkan. Terdapat hanya dua cara untuk memperolehi apa yang anda idamkan. Cara susah atau cara mudah. Mana satu pilihan anda? Kedua-duanya akan memberikan apa yang anda idamkan. Jika anda pilih kaedah pertama, anda harus bekerja kuat. Anda mendaki anak tangga demi anak tangga untuk menuju puncak kejayaan yang anda idamkan. Kalau anda pilih kaedah kedua pula, anda tidak perlu bekerja kuat tetapi bekerja dengan bijak.
Anda perlu membuat pilihan.
Anda mahu memperolehi dengan cara susah atau dengan cara mudah? Sudah tentu cara yang mudah, bukan? Saya akan tunjukkan kepada anda cara mudah dan bijak ini. Cara inilah saya namakan sebagai Eskalator Kepada Kejayaan. Tetapi jikalau anda seorang yang sukakan jalan yang sukar, menyukai pelbagai drama dalam hidup anda maka buku ini bukanlah untuk anda.
Kini anda telah mengetahui bahawa anda perlu menjadi Mat Jenin Moden, mempunyai emosi yang kuat terhadap impian dan anda tahu bahawa di sana adanya eskalator yang boleh membawa anda menuju ke puncak impian dengan lebih pantas dan selesa. Sebelum itu mari kita bincangkan satu perkara yang amat penting yang mendasari keseluruhan buku ini, iaitu Hukum Tarikan.

Hukum Tarikan


Pernahkan anda perhatikan kenapa orang-orang kaya rakan-rakannya juga terdiri daripada orang-orang kaya? Daripada pemerhatian sebegini jugalah maka terciptanya bidalan seperti "enggang sama enggang, pipit sama pipit" dan "birds of the same feather flock together". Adakah anda fikir ini suatu kebetulan? Tentu ada alasan untuk menerangkan keadaan ini, bukan? Sebenarnya terdapat satu hukum yang mendasari perkara ini, yang dapat menjelaskan fenomena sebegini. Hukum ini dipanggil Hukum Tarikan (Law Of Attraction). Hukum Tarikan menyatakan sesuatu yang serupa akan menarik sesuatu yang serupa. Dalam istilah bahasa Inggerisnya, likes attract likes.Cendekiawan berkawan dengan cendikiawan. Orang yang sering berdukacita lebih cenderung untuk berdampingan dengan mereka yang juga sering menghadapi masalah. Kebiasaannya kita menggunakan istilah "satu kepala" atau "ngam" untuk menerangkan hal ini. Istilah "mempunyai wavelength yang sama" juga biasa digunakan.



 

 

 
                             Enggang bersama Pipit, menyalahi hukum alam?

Apa sebenarnya yang membuatkan mereka ngam? Sains telah membuktikan bahawa pemikiran, emosi dan kepercayaan kita menghasilkan getaran. Getaran yang terhasil ini akan tersebar ke alam semesta. Seperti dinyatakan tadi sesuatu yang serupa akan menarik sesuatu yang serupa, maka getaran ini akan menarik getaran yang serupa dengannya. Contohnya, jika anda sentiasa berada dalam keadaan gembira, emosi positif akan menarik (attract) perkara-perkara yang juga positif sifatnya. Perkara-perkara ini termasuklah benda, objek manusia dan situasi. Hasilnya anda terus berada dalam keadaan gembira. Inilah yang menerangkan contoh tadi, kenapa orang-orang kaya berkawan dengan orang-orang kaya kerana emosi ( I.e. emosi "kemewahan'') yang mereka keluarkan adalah sama maka mereka manarik antara satu sama lain. Begitu juga jika seseorang itu sering berfikiran negatif, dia akan menarik manusia dan situasi yang negatif dalam hidupnya. Ini juga bermakna jika anda mahukan perkara-perkara positif dalam hidup anda, anda harus berfikiran dan beremosi positif. Salah satu kaedah berkesan adalah melalui fokus. Fokuskan kepada perkara-perkara positif maka anda akan mendapat lebih banyak perkara positif dalam hidup anda.
Perkara-perkara di keliling anda (dunia luaran) adalah cermin atau refleksi fikiran dan emosi anda (dunia dalaman). Ini bermakna anda bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku dalam hidup anda. Anda menarik perkara-perkara yang sepadan dengan fikiran dan emosi anda. Jika banyak perkara negatif yang berlaku dalam hidup anda, andalah yang menariknya dengan fikiran dan emosi (negatif) anda. Jadi fokuskan kepada perkara-perkara positif untuk menarik lebih banyak perkara positif. Dalam erti kata lain, anda umpama magnet, menarik apa sahaja yang ngam dengan pemikiran dan emosi anda yang seterusnya menjelma dalam hidup anda.
Seperti hukum-hukum lain di dunia ini, Hukum Tarikan ini sentiasa bekerja sepanjang masa. Hukum graviti contohnya, sentiasa bekerja tidak mengira tempat atau waktu, sama ada anda sedar atau tidak dan sama ada anda suka atau tidak. Jadi janganlah anda cuba untuk terjun dari banggunan tiga tingkat dengan harapan anda tidak akan tercedera. Begitulah juga dengan Hukum Tarikan. Ia sentiasa bekerja sepanjang masa tidak kira sama ada anda tahu atau tidak tentang kewujudannya, sama ada anda suka atau tidak. Pengetahuan manusia mengenai hukum graviti membolehkan manusia menggunakannya untuk perkara-perkara kebaikan contohnya, penciptaan pengangkutan udara dan penerokaan ruang angkasa lepas. Begitulah juga dengan Hukum Tarikan. Dengan mengetahui prinsip-prinsipnya anda boleh menggunakannya untuk menarik perkara-perkara yang anda inginkan dalam hidup anda. Walau bagaimanapun, pengaplikasian hukum ini dengan kaedah yang betul memerlukan sedikit latihan dan masa untuk ia benar-benar sebati dengan diri kita. Inilah yang anda akan pelajari daripada buku Mat Jenin Moden ini. Jika anda inginkan pemahaman yang lebih mengenai Hukum Tarikan, anda boleh membaca penerangan lanjut berkenaan hukum ini di bahagian apendiks.
Sebelum kita terus pergi ke langkah pertama, mari kita lihat dahulu proses penciptaan kerana ia berkait rapat dengan Hukum Tarikan.



 

Pengenalan tentang Hukum Tarikan

Pernahkah anda perhatikan kenapa orang-orang kaya rakan-rakannya juga terdiri daripada orang-orang kaya? Daripada pemerhatian sebegini jugalah maka terciptanya bidalan seperti "enggang sama enggang, pipit sama pipit". Adakah anda fikir ini suatu kebetulan? Tentu ada alasan untuk menerangkan keadaan ini bukan? Sebernarnya terdapat satu hukum yang mendasari perkara ini, yang dapat menjelaskan fenomena sebegini. Hukum ini dipanggil Hukum Tarikan (Law Of Attraction). Hukum Tarikan menyatakan sesuatu yang serupa akan menarik sesuatu yang serupa. Dalam istilah Inggerisnya, likes attract likes. Cendekiawan berkawan dengan cendekiawan.Orang yang sering berdukacita lebih cenderung untuk berdamping dengan mereka yang juga sering menghadapi masalah. Kebiasaannya kita menggunakan istilah "satu kepala" atau "ngam" untuk menerangkan hal ini. Istilah "mempunyai wavelength yang sama" juga biasa digunakan.